suria

Cubaan Seludup Arak Bernilai RM270,000 Dibanteras

JOHOR BARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 6,060 botol dan 2,400 tin minuman keras yang dianggar bernilai kira-kira RM270,000 selepas menahan sebuah lori di Jalan Lingkaran Dalam di sini, Selasa.

Pengarah KDRM Johor, Datuk Ramli Johari berkata lori itu dari Singapura ditahan kira-kira 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota penguat kuasa, kira-kira 300 meter dari pintu keluar Kompleks Import, Bangunan Sultan Iskandar.

"Kesemua 6,060 botol itu dianggarkan mengandungi 4,443 liter minuman keras manakala 2,400 tin itu mengandungi 792 liter bir yang disyaki belum lulus kastam," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Pemandu lori tersebut kini direman dan dipercayai kesemua barangan larangan itu adalah untuk pasaran di negara ini.

Ramli berkata kes tersebut yang melibatkan cukai sebanyak RM309,404 akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain