suria

Akibat Balas Dendam, Seorang Lelaki Mati Ditembak Sembilan Das

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas terkena sembilan daripada 15 das tembakan yang dilepaskan dua individu dalam satu kejadian di kawasan flat Taman Sri Serdang, dekat sini malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi, Bernard Ooi Boh Beng, 39, ditembak enam das di bahagian dada dan tiga das lagi masing-masing di ketiak sebelah kanan, lengan kiri dan perut.

Ketua Polis daerah Serdang, ACP Abd Razak Elias berkata polis percaya motif kejadian kerana balas dendam berdasarkan jumlah tembakan yang dilepaskan.

Semasa kejadian, Bernard, seorang penganggur, sedang berjalan kaki dari sebuah restoran untuk pulang ke rumahnya di kawasan tersebut sebelum dihampiri sebuah kereta Proton Waja berwarna perak, yang dipercayai dinaiki lebih daripada dua individu yang kemudiannya melepaskan 15 das tembakan sebelum melarikan diri, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa yang masih bujang dan tinggal berseorangan mati di tempat kejadian. Polis kini sedang memeriksa latar belakang mangsa termasuk rekod jenayah lepas.

Abd Razak berkata mangsa yang telah setahun menganggur sebelum ini pernah bekerja di sebuah syarikat kontraktor pengubahsuaian rumah.

Katanya, polis juga mengambil keterangan beberapa saksi yang berada di tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain