suria

Rasuah: Bekas KP Imigresen Diperintah Bela Diri

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don diperintah membela diri atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepat kelulusan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin membuat keputusan itu sebulat suara selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abu Samah memerintahkan kes itu disebut di Mahkamah Sesyen pada 16 April bagi membolehkan tarikh perbicaraan ditetapkan.

Beliau turut mengarahkan kes itu didengar di depan Hakim Mahkamah Sesyen yang sama iaitu Rosbiahanin Ariffin.

Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata Hakim Mahkamah Sesyen membuat dapatan fakta bahawa Wahid, 59, menerima wang itu namun memutuskan di akhir kes pendakwaan bahawa tertuduh berjaya menyangkal anggapan berkenaan.

"Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memutuskan bahawa tertuduh berjaya menyangkal anggapan itu tanpa mendengar pembelaan responden," katanya.

Abu Samah berkata hakim itu juga gagal mempertimbang keseluruhan keterangan saksi pendakwaan, terutama perunding pekerja asing Mohamad Hasnan Hassan.

Pada 15 Oktober 2010, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Wahid daripada pertuduhan selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dia didakwa menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta pada 10 Julai 2008.

Pada 31 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan SPRM.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa manakala wahid oleh peguam Datuk V.Sithambaram. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain