suria

DUN Perak Dibubar Hari Ini

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubar pada Rabu serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Pengumuman itu dibuat di kediaman rasmi Menteri Besar di sini pada kira-kira pukul 5.20 petang ini.

Zambry berkata, beliau telah mengadap Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pada pukul 3 petang bagi mendapat perkenan pembubaran itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Kita akan menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa. Inilah saat kita membuat pilihan untuk menjamin masa depan bersama yang cemerlang, bukan sahaja untuk diri kita tetapi juga bagi anak cucu dan generasi akan datang," katanya.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak mahu rakyat menilai BN atas pencapaian yang dilaksankan bukan melalui tohmahan atau fitnah yang dilemparkan secara melulu daripada kalangan tertentu.

Sementara itu Speaker DUN Perak Datuk R.Ganesan berkata, notis pengisytiharan pembubaran DUN akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak pada Khamis.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan 24 kerusi Parlimen.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang masing-masing memenangi 18, tujuh dan enam kerusi DUN bersetuju menubuhkan kerajaan bagi menerajui pentabiran negeri Perak. BN menang 28 kerusi.

Bagaimanapun selepas 11 bulan, dua Adun dari DAP dan dua dari PKR telah bertindak keluar parti dan menjadi Adun Bebas yang menyokong BN, sekali gus memberi laluan kepada BN yang memiliki 28 kerusi DUN mengambil alih pentadbiran Perak secara rasmi pada 6 Februari 2009.

Pada April 2009, pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shaharum dari PAS, yang menyaksikan calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengalahkan calon BN Ismail Saffian dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris dengan majoriti 2,789 undi.

BN menerajui kerajaan negeri Perak dengan 28 kerusi sementara DAP-PKR-PAS dengan 27 kerusi manakala empat kerusi diwakili calon Bebas yang menyokong BN.

Daripada 24 kerusi Parlimen di negeri ini, 13 kerusi dikuasai BN, 10 kerusi oleh pembangkang dan satu kerusi dikuasai Bebas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain