suria

Tuntutan Royalti Petroleum RM12 Bilion Kerajaan Kelantan Tidak Berdasarkan Asas Munasabah - Pejabat PM

KUALA LUMPUR: Tuntutan royalti petroleum RM12 bilion oleh kerajaan negeri Kelantan tidak bersandarkan kepada asas-asas munasabah, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut PMO, tuntutan itu bukan sahaja tidak munasabah dari segi perundangan, tetapi juga dari tatacara teknikal berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran gas dan minyak di kawasan yang terlibat.

"Mengikut undang-undang, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan, sepertimana juga Negeri Terengganu dan semua negeri di Semenanjung Malaysia hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran hasil petroleum yang dikeluarkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari ukuran garis air surut ataupun pesisiran pantai negeri," menurut PMO.

Menurut PMO, kawasan-kawasan yang mengeluarkan hasil petroleum di luar perairan negeri Kelantan adalah Blok PM301, Blok PM2, Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) dan Kawasan Pengaturan Komersil di antara Malaysia and Vietnam (PM3 CAA).

"Blok PM301 dan Blok PM2 melebihi tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai Negeri Kelantan tetapi berada dalam kawasan perairan Malaysia. MTJDA pula merupakan kawasan yang dituntut Thailand dan PM3 CAA merupakan kawasan yang dituntut Vietnam," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini, Selasa.

Menurut PMO, kawasan yang dituntut Thailand iaitu MTJDA adalah di bawah pihak berkuasa bersama Malaysia-Thailand (MTJA) yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti-aktiviti di dalam kawasan ini dan bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sahaja. "Ini adalah kerana isu sempadan laut di antara kerajaan Malaysia dan Thailand sehingga kini masih belum diselesaikan secara muktamad," kata PMO.

Oleh itu, Malaysia dan Thailand telah memeterai Memorandum Persefahaman yang perlu dipatuhi kedua-dua negara selagi isu sempadan laut tidak dapat diselesaikan, menurut PMO.

"Ini adalah untuk mengelakkan pertelingkahan di antara Malaysia dan Thailand. Kedua-dua negara telah bersetuju supaya bayaran lima peratus daripada nilai pengeluaran petroleum dibuat kepada Malaysia, dan Thailand juga menerima lima peratus daripada nilai pengeluaran petroleum," menurut PMO.

Menurut PMO, kawasan ini telah mengeluarkan hasil semenjak tahun 2005 dan sehingga tahun 2012, kerajaan Persekutuan telah menerima bayaran berjumlah US$600.27 juta ataupun RM2.1 bilion daripada kawasan tersebut.

Selain itu, tuntutan RM12 bilion kerajaan negeri Kelantan adalah tidak munasabah kerana jumlah bayaran yang diterima oleh kerajaan Persekutuan daripada kesemua empat kawasan, iaitu MTJDA (Malaysia-Thailand), PM CAA (Malaysia-Vietnam), Blok PM301 dan Blok PM2 yang mengeluarkan hasil petroleum sehingga kini adalah RM4.58 bilion.

"Kerajaan Negeri Kelantan bukan sekadar menuntut apa yang tidak termaktub dalam undang-undang bahkan tuntutan mereka itu berkali-kali ganda lebih daripada apa yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan.

"Memandangkan tuntutan ini tidak ada asasnya, maka tindakan pihak-pihak tertentu dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti untuk mengelirukan rakyat Kelantan adalah amat dikesali," kata PMO.

Menurut PMO, kerajaan Persekutuan sebenarnya berbelanja dalam jumlah yang lebih besar melebihi jumlah hasil yang dikutip daripada negeri Kelantan.

Menurut PMO, umpamanya bagi tempoh tahun 2008 hingga tahun 2012, perbelanjaan kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM26.37 bilion berbanding hasil yang dikutip daripada negeri Kelantan bagi tempoh yang sama berjumlah RM2.07 bilion.

"Jika dinisbahkan, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berbanding dengan kutipan hasil di negeri Kelantan, adalah sangat besar, iaitu 13:1.

Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan adalah merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM20.03 bilion, perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.84 bilion dan pemberian kepada kerajaan negeri berjumlah RM1.5 bilion.

Hasil dikutip dalam bentuk Cukai Langsung oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM1.41 bilion, Cukai Tak Langsung oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjumlah RM0.31 bilion dan Hasil yang dipungut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM0.35 bilion.

Selain itu menurut PMO, kerajaan Persekutuan telahpun bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas untuk mengkaji isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur. "Kerajaan Persekutuan telah melantik ahli-ahli yang non-partisan, pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan wakil-wakil Kerajaan Negeri yang terlibat untuk menganggotai Jawatankuasa Khas ini yang akan menentukan sama ada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia berhak dari segi undang-undang menerima bayaran tunai hasil petroliam di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan kaedah pembayarannya," menurut PMO.

"Jelas daripada semua yang tersebut di atas, Kerajaan Persekutuan telah berlaku adil kepada negeri dan rakyat Kelantan," menurut PMO sambil menambah, ini membuktikan keterbukaan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perselisihan faham antara semua pihak secara munasabah dan konstruktif.

Usaha Kerajaan Persekutuan ini adalah untuk menjamin bahawa hak-hak semua pihak ditentukan berlandaskan undang-undang yang terpakai pada masa kini, menurut PMO.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain