suria

PRU13: Pasukan Keselamatan Sedia Ada Akan Dikekalkan di Sabah - Ismail Omar

KUALA LUMPUR: Semua anggota keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan kawasan yang terlibat dengan pencerobohan di Sabah akan dikekalkan di sana ketika pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata ini bagi memberi keyakinan keselamatan kepada penduduk sepanjang proses PRU13 berlangsung.

"Sememangnya anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang menjalankan operasi tempoh hari akan dikerah untuk menjaga keselamatan semasa pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah, di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak di sini Selasa.

Sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga itu dikurniakan Sultan Kelantan melalui Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rashid berkata sebuah pusat media akan dibuka di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memudahkan pihak media mendapat maklumat mengenai perjalanan pilihan raya, sebaik Parlimen dibubar. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain