suria

Polis Kedah Nafi Pukul Suspek Curi Motosikal Dalam Lokap

ALOR SETAR: Polis Kedah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan anggotanya memukul seorang suspek curi motosikal di Pasar Malam Selasih di Kulim sewaktu ditahan di dalam lokap, seperti yang dilaporkan beberapa blog dan laman sosial.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata ketika dibawa ke Balai Polis Kulim, suspek sudah berada dalam keadaan sangat lemah, dan pihaknya tidak sempat menyoal dan membawa suspek ke dalam lokap.

Beliau berkata suspek yang berusia 25 tahun dari Kupang, Kedah telah mencuri sebuah motosikal pada 29 Mac, pukul 9.42 malam di Pasar Malam Selasih dan ini disedari pemilik motosikal terbabit yang berusia 23 tahun.

"Pemilik yang terkejut melihat suspek menaiki motosikalnya pergi kepada suspek dan dengan bantuan 30 orang awam mereka berjaya menangkap suspek dan terus memukulnya sebelum dua anggota polis yang berada di pondok polis berdekatan datang untuk meleraikan pergaduhan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, Selasa.

Beliau berkata anggota polis membawa suspek ke Balai Polis Kulim tetapi keadaan suspek yang lemah menyebabkan dia terpaksa dibawa ke Hospital Kulim pada pukul 11.20 malam untuk dirawat. Katanya kerana keadaan suspek yang agak kritikal, dia terpaksa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan kini berada dalam keadaan koma.

"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba mencuri motosikal dan kertas siasatan juga akan dilakukan terhadap orang awam yang memukul suspek mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. "Saya ingin mengingatkan, tidak salah ingin membantu menangkap penjenayah tapi jangan bertindak di luar batasan sehingga boleh menyebabkan mereka sendiri ditahan polis," katanya.

Abdul Ghafar berkata sehingga kini tiada sebarang keterangan dan tangkapan dibuat ke atas orang awam yang terlibat.

Beliau berkata tuduhan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu terhadap polis adalah usaha untuk memburuk-burukkan nama polis. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain