suria

Penganggur Tawar Kerja Kepada Graduan Ditahan

KEPALA BATAS: Seorang penganggur yang menyamar sebagai ejen menawarkan pekerjaan kepada lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan di rumahnya di Tasek Gelugor di sini pada 18 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata pelbagai dokumen turut dirampas dari suspek yang berusia 20-an.

"Kita merampas beberapa dokumen seperti borang temuduga, borang pemeriksaan doktor, dokumen diri, sijil, resume, kad bank dan komputer yang digunakannya.

"Berdasarkan siasatan, lelaki ini akan pergi ke IPT di Pulau Pinang dan negeri berdekatan serta mengedarkan iklan menawarkan pekerjaan di sektor awam kepada pelajar yang baru tamat pengajian," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata suspsk menjalankan kegiatan berkenaan sejak setahun lepas dengan menawar dan menjanjikan pekerjaan kepada mangsa dengan mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM650 seorang.

Abdul Rahman berkata selepas pembayaran dibuat, mangsa akan diberi surat temuduga dan dokumen lain.

"Mangsa akan dihubungi melalui telefon yang panggilan itu dibuat sendiri lelaki terbabit yang menyamar sebagai individu tertentu bagi memaklumkan pelbagai alasan untuk memperlambatkan proses temuduga dan mengambil bekerja," katanya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya menerima laporan membabitkan 42 mangsa dengan kerugian RM27,300.

Sementara itu katanya polis menahan seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan memperbaharui permit pekerjaan pekerja asing.

Suspek ditahan sebuah rumah sewa di Mak Mandin, Butterworth pada 23 Mac lepas. Katanya dalam serbuan itu, polis merampas beberapa kad perniagaan, dokumen pembayaran levi, 143 pasport Bangladesh, Myanmar, Indonesia, India dan Vietnam serta sebuah kereta Perodua Viva, buku akuan bank, lima cop perniagaan dan empat cop tiga agensi kerajaan.

"Lelaki yang tidak bekerja itu bertindak sebagai ejen untuk memperbaharui permit kerja dengan menawarkan perkhidmatan berkenaan pada kadar RM2,000 setiap seorang.

"Mangsa yang menerima semula pasport dan permit kerja yang diperbaharui itu hanya menyedari ia adalah palsu selepas diperiksa oleh Jabatan Imigresen," katanya.

Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati seramai 40 warga asing telah ditipu lelaki berkenaan dan mereka mengalami kerugian lebih RM70,000.

Katanya kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain