suria

Noh Omar Dakwa Kerajaan Selangor Salah Guna Kuasa Tolak Langat 2

SHAH ALAM: Pendirian kerajaan negeri Selangor tidak meluluskan pembinaan projek loji rawatan air Langat 2 adalah satu penyalahgunaan kuasa yang akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negeri ini dan lambat laun akan menjadikannya negeri yang mundur, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Noh, yang juga Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri, berkata kerajaan Barisan Nasional sejak 16 tahun dahulu merancang projek membawa air mentah melalui terowong dari Pahang berharga RM4 bilion yang kini hampir siap dan kerajaan negeri ketika itu bersetuju kawasan di Langat digunakan untuk loji berkenaan.

"Dalam perjanjian asal, kerajaan negeri bersetuju untuk kita menggunakan tanah di kawasan Langat untuk dijadikan loji Langat 2. Itu sahaja...kuasa dia hanya membenarkan kita memulakan projek. Ini sahaja kuasa dia, tetapi dia nampaknya nak tunjuk kuasa dan dia salah guna kuasa," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Noh berkata kuasa yang sepatutnya diberi untuk pembinaan loji Langat 2 sebaliknya dinafikan dan kesannya hari ini Selangor sedang berdepan dengan krisis air yang sudah pun mengakibatkan sekurang-kurangnya 440 projek yang berupaya mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan tidak dapat dimulakan.

"Jadi, apa kesan dia? Peluang pekerjaan akan tertutup, rumah tak boleh buat, hotel tak boleh buat, kompleks beli-belah tak boleh buat dan Selangor lambat laun akan menjadi negeri mundur," katanya.

Beliau berkata syarikat-syarikat yang telah komited untuk melabur di Selangor sehingga kini masih menunggu untuk memulakan projek-projek mereka yang tidak dapat dijalankan oleh kerana tiada jaminan bekalan air yang mencukupi.

Sehubungan itu, Noh mahu semua rakyat Selangor memandang perkara itu dengan serius demi memastikan kelangsungan negeri mereka terus maju.

"Jadi untuk selesaikan masalah air ini, rakyat Selangor tak ada pilihan, kena pastikan BN memerintah negeri Selangor. Insya-Allah, selesai masalah air ini," katanya merujuk kepada pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Noh berkata rakyat Selangor juga harus sedar bahawa isu air hanya satu gimik politik kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang yang kerap menyatakan mereka akan menyelesaikan masalah air tetapi realitinya, keadaan semakin buruk.

"Percayalah cakap saya, mereka tidak akan dapat menyelesaikan isu air selagi mereka memerintah negeri Selangor. Kerana isu nak ambil alih air, isu Langat 2, dulu dia tuduh kita nak bagi kroni. Tetapi bila kita buat tender terbuka untuk Langat 2, dia tak masuk pun open tender itu," kata beliau.

Oleh itu, Noh berkata kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk meneruskan pembinaan loji Langat 2 demi masa depan rakyat Selangor sementara Peguam Negara sedang mengkaji daripada segi undang-undang demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata sekiranya loji Langat 2 tidak disiapkan, rakyat Selangor dan negeri ini yang merupakan nadi kepada pembangunan negara akan berdepan dengan krisis air.

"Betul, kuasa meluluskan development order (arahan pembangunan) kuasa kerajaan negeri tetapi daripada segi undang-undang, kita kena tengok yang mana lebih penting. Kepentingan nak menunjukkan kuasa kerajaan negeri atau pun public interest (kepentingan awam). Walau apa pun, kita telah minta Peguam Negara untuk membuat kajian dan kita akan teruskan projek itu," katanya.

Mengenai rancangan kerajaan negeri untuk mengambil alih kepentingan syarikat-syarikat konsesi air melalui pengstrukturan semula industri air sebagai helah tidak meluluskan Langat 2, Noh berkata isu loji berkenaan dan pengstrukturan semula adalah dua perkara yang cukup berbeza dan tidak boleh dikaitkan.

Katanya, beliau amat hairan kenapa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang pernah satu masa dahulu mengetuai sebuah syarikat korporat tidak faham urusan pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), yang sebahagiannya milik Puncak Niaga, yang merupakan syarikat yang disenaraikan.

"Pengstrukturan semula air ialah proses willing buyer willing seller (kesediaan pembeli dan kesediaan penjual). Macam mana kerajaan negeri nak mengambil alih SYABAS. Takkah seorang yang kononnya bekas tokoh korporat, tak faham prosedur nak mengambil alih syarikat public listed company (syarikat senaraian awam). Mesti ada proses dia," katanya.

Noh berkata terlalu banyak dolak-dalik kerajaan negeri berhubung isu air dan jika keadaan ini dibiarkan berterusan, kerajaan negeri akan "menjahanamkan masa depan rakyat". - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain