suria

Wanita Lumpuh Nyaris Maut Dalam Kebakaran Pondok Agama

BACHOK: Lima pondok agama di Kampung Kolam di sini musnah dalam satu kebakaran pada Ahad yang turut nyaris meragut nyawa seorang warga emas yang lumpuh.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, Rogayah Mat Noor, 68, sempat dipapah keluar oleh jirannya apabila api mula membakar pondok yang didiaminya bersama suami Hasbullah Mohamad, 71.

"Masa itu makcik baru nak makan pagi. Tak tahu pun ada pondok terbakar sehingga jiran datang memapah makcik keluar," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya ketika kejadian, suaminya yang juga mudir di pondok agama itu keluar membeli surat khabar.

"Alhamdulillah makcik dan suami selamat tetapi sedih pondok yang makcik duduk bersama suami habis terbakar," katanya.

Hasbullah berkata beliau yang pulang selepas dimaklumkan mengenai kebakaran itu berasa lega kerana semua penghuni yang tinggal di lima pondok terbabit tiada tiada di pondok masing-masing ketika kejadian.

Terdapat 50 pondok di sini dan lebih 30 orang menghuni pondok-pondok itu pada satu-satu masa bagi mengikuti kelas agama yang diadakan pada sebelah malam, katanya.

Beliau berkata pondok agama itu dibuka pada penghujung 1950an dan percaya kebakaran berpunca daripada litar pintas kerana sistem pendawaian yang lama.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abd Jalil Ishak berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 10.28 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira sejam selepas itu.

"Seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dihantar untuk memadamkan kebakaran. Api cepat merebak selain cuaca panas adalah keadaan pondok yang berdekatan di antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. BERNAMA

Artikel Lain