suria

Pengundi Diminta Nilai Keputusan Kit Siang Tanding di Gelang Patah - Chee Heung

JOHOR BAHARU: Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung berkata rakyat perlu menilai keputusan anggota veteran DAP Lim Kit Siang untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-13 kerana beliau tidak mungkin dapat memberikan perkhidmatan yang sebenarnya kepada mereka.

Chor yang juga Anggota Parlimen Alor Setar berkata berdasarkan rekod, Lim tidak pernah lama mewakili sesuatu kawasan yang ditandingi.

"Bila mengetahui orang tidak mengalu-alukan beliau menjadi anggota parlimen, maka beliau akan melompat ke kawasan lain. Jadi, apa maksud beliau untuk datang ke Gelang Patah? soalnya.

"Adakah hendak tunjuk kemampuan perkhidmatan atau sengaja hendak menunjukkan bahawa beliau boleh menewaskan calon Barisan Nasional dari MCA?," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Baru, Gelang Patah, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi MCA Gelang Patah Jason Teoh.

Chor berkata beliau amat bersetuju dengan pandangan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyifatkan Lim sebagai seorang ahli politik 'touch n go' atau 'singgah lalu' kerana sejak pilihan raya umum 1969, tokoh DAP itu bertanding di beberapa kawasan parlimen antaranya Bandar Melaka, Petaling, Kota Melaka, Tanjong dan Bukit Bendera.

Mengulas mengenai PKR yang semalam mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR Kedah Gooi Hsiao Leung bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pula, Chor berkata ia juga kelihatan sama seperti sikap Lim yang tidak menjalankan perkhidmatan sebenar terhadap rakyat.

"Dulu pada tahun 2008 dia (Gooi) bertanding tetapi bila sudah kalah dia menghilangkan diri. Kini, selepas lima tahun, dia muncul kembali," katanya.

Sehubungan itu, Chor meminta pengundi khususnya di Parlimen Gelang Patah dan Alor Setar supaya membuat pilihan yang tepat dengan memilih Barisan Nasional kerana MCA khususnya tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat sejak dulu sehingga kini.

Sementara it, mengenai lawatan beliau ke Gelang Patah hari ini, Chor yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata peruntukan sebanyak RM400,000 akan diberikan kepada lima buah kampung baru di Parlimen Gelang Patah bagi menaiktaraf longkang dan beberapa batang jalan.

Beliau berkata lima kampung terlibat adalah Kampung Baru Kangkar Pulai, Kampung Baru Gelang Patah, Kampung Baru Ulu Choh, Kampung Baru Lima Kedai dan Kampung Baru Skudai dengan kerja-kerja menaiktaraf akan dilakukan dalam kadar segera. -BERNAMA

Artikel Lain