suria

Keluarga Tentera Terkorban di Lahad Datu Terima Pampasan Insurans

PASIR MAS: Dua keluarga anggota tentera yang terkorban dalam Operasi Daulat di Lahad Datu bulan lepas menerima pampasan insurans berkelompok angkatan tentera pada Isnin.

Penyampaian cek masing-masing bernilai RM106,000 dan RM112,000 itu diserahkan Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi di rumah keluarga kedua-dua anggota tentera itu.

Keluarga Allahyarham Kpl Ahmad Farhan Ruslan, 20, menerima RM106,000 dan keluarga Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail, 24, menerima RM112,000.

Turut hadir pada majlis penyerahan cek itu ialah Panglima Infantri Tentera Darat Brig Jen Datuk Mohamad Khir Abdullah dan Panglima Markas Lapan Briged Brig Jen Datuk Mohamad Zaki Hamzah.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Ahmad Hasbullah berkata lazimnya pegawai dan anggota didaftar dalam insurans secara berkelompak dengan bayaran minima RM4 seunit.

Beliau berkata galakan yang dikenakan sejak dahulu membolehkan setiap keluarga anggota yang meninggal dunia menerima pampasan mengikut kadar yang ditetapkan. -BERNAMA

Artikel Lain