suria

Jangan Tersalah Pilih Parti Terajui Kerajaan - Nasir Tun Sakaran

SEMPORNA: Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Seri Nasir Tun Sakaran mengingatkan rakyat agar tidak tersalah memilih parti pada pilihan raya umum akan datang untuk menerajui kerajaan.

Nasir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Semporna, berkata jika silap perhitungan dan memilih kerajaan yang tidak memperjuang nasib rakyat, maka mereka sendiri akan rugi dan menyesal tidak sudah.

"Ingatlah apabila kita tersalah memilih pemimpin dan parti menerajui negara ini, dan kita kehilangan kuasa, kita tidak lagi dapat menikmati kemakmuran yang kita peroleh daripada pemimpin dan Barisan Nasional (BN)," katanya sempena Program Ziarah Rakyat dan Pengesanan Pengundi di Kampung Tarapuli, Kampung Blok Tarapuli, Kampung Pegagau Baru dan Kampung Kubang Pinang.

Program turun padang itu bertujuan mendengar keluhan rakyat, menyampaikan bantuan, melawat projek pembangunan kerajaan dan mengesan pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi.

Nasir berkata rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang ikhlas membela nasib mereka selain memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman, makmur dan harmoni.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan segelintir penduduk yang bersengkongkol dengan pengganas dari selatan Filipian dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal-ehwal Agama Islam di Sabah, beliau mengingatkan umat Islam agar sentiasa menghayati ajaran agama berlandaskan Al-Quran, Hadis dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. -BERNAMA

Artikel Lain