suria

PRU-13: PPP Berjaya Tarik 300,000 Pengundi Baru

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) berjaya menarik kira-kira 300,000 pengundi baru seluruh negara, yang terdiri daripada belia, dalam usaha memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Presidennya, Datuk Seri M Kayveas berkata, semua pengundi terbabit, yang turut mendaftar sebagai anggota PPP, juga berikrar akan mengundi BN pada PRU13.

"Ini antara strategi yang telah dijalankan PPP sejak empat tahun lepas bagi memastikan kemenangan BN pada PRU13 ini.

"Dan kejayaan membanggakan ialah kira-kira 106,000 daripada pengundi baru tersebut ialah dari kawasan Wilayah Persekutuan yang mana ia satu rekod pencapaian yang saya kira tidak dicapai oleh parti lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Bilik Gerakan Dan Tabung Kebajikan PPP Bahagian Wangsa Maju pada Ahad.

Turut hadir Ketua Bahagian PPP Wangsa Maju, Richard Lee.

Kayveas berkata, usaha itu juga sebahagian strategi PPP dipanggil 'Misi 510' yang menyaksikan PPP akan memastikan sekurang-kurangnya 510 anggota parti itu akan mengundi calon BN di setiap cawangannya di seluruh negara.

"Misalnya, di Wangsa Maju kita ada 10 bahagian maka 5,100 ribu undi BN telah dijamin. Ini akan membantu kemenangan BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar PPP diberi satu kerusi di Wilayah Persekutuan pada PRU13 memandangkan terdapat sokongan kuat daripada anggotanya di kawasan berkenaan, termasuk pengundi baru.

"Kita berharap akan bertanding di tiga kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri untuk PRU nanti. Segala usaha yang mungkin telah kita usahakan, maka PPP cuma harap diberi peluang untuk membuktikan usaha kita selama ini," katanya.

Bagaimanapun, Kayveas berkata, PPP sebagai parti komponen sentiasa menyokong siapa sahaja calon BN yang dipilih.

Sementara itu, Wangsa Maju menjadi bahagian PPP pertama menubuhkan tabung kebajikan bagi menjaga kebajikan anggotanya, dan setakat ini, mengumpul dana sebanyak RM15,000 hasil sumbangan pelbagai pihak. - BERNAMA

Artikel Lain