suria

PRU-13: BN Pahang Serah Senarai Calon Kepada PM Pada Jumaat

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Barisan Nasional (BN) negeri menyerahkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 kepada Perdana Menteri pada Jumaat.

"Boleh dikatakan senarai itu muktamad tetapi tidak mustahil berlaku pertukaran sehingga hari penamaan calon dan ia akan ditukar mengikut kesesuaian," kata Adnan.

Katanya beliau turut membincangkan beberapa perkara berhubung calon-calon yang dipilih pada pertemuan selama 15 minit dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia Pahang di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini.

Sementara itu di KEDAH, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata senarai calon BN Kedah belum dimuktamadkan.

"Perdana Menteri masih mahu melihat pandangan beberapa pihak lain sebelum memuktamadkan senarai calon walaupun keutamaan adalah senarai yang dikemukakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri semalam, beliau meletakkan calon mesti boleh menang sebagai kriteria utama untuk dipilih," kata Mukhriz kepada pemberita semasa ditemui di Dataran Air Hitam, Jerlun di sini.

Mukhriz berkata perbincangan dengan Najib turut menyentuh usaha menawan kubu kuat pembangkang.

Menurutnya terdapat keseimbangan muka lama dan baharu yang akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri dan parlimen di Kedah kali ini.

Di KELANTAN, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata senarai calon kini di peringkat akhir saringan dan bakal menonjolkan muka baharu serta lama selain tokoh ulama.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Ditanya kenapa perdana menteri belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan termasuk dalam bidang politik, kerajaan dan ekonomi benar-benar dirasai rakyat.

"Tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang. ini strategi Datuk Seri Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Mayveas pula berkata parti itu akan terus menggunakan strategi 'Misi 510' bagi meraih undi dengan setiap cawangan yang mempunyai 51 anggota jawatankuasa mendapatkan 10 penyokong.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Wilayah Persekutuan T. Mohan berkata mereka akan memulakan kempen dari rumah ke rumah untuk memastikan maklumat tepat mengenai program pembangunan kerajaan dapat disampaikan. BERNAMA

Artikel Lain