suria

PM Umum Tambahan 1,000 Unit Motosikal Ninja

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi peruntukan khas bagi menambah sejumlah 1,000 motosikal untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan fasa kedua URB itu akan diberi selepas PDRM memberi latihan dan mengenal pasti pasukan serta anggotanya untuk ditempatkan dalam unit berkenaan.

"Menyedari program ini sangat berkesan, kerajaan akan beri peruntukan khas untuk fasa kedua iaitu 1,000 lagi unit (motosikal) untuk URB dan ia akan dapat digerakkan dalam masa terdekat," katanya ketika melancarkan URB di Subang Jaya, Sabtu.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Datuk Lee Chee Leong.

Semasa membentang Belanjawan 2013, Najib mengumumkan pewujudan 1,000 unit motosikal dengan peruntukan RM20 juta bagi URB untuk memantau kawasan perumahan.

Bagi peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250R yang dilengkapi sistem lampu serta siren disediakan untuk pelaksanaan program berkenaan di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Najib berkata beliau menggalakkan pasukan URB mengenali masyarakat di tempat rondaan mereka lebih dekat supaya aktiviti pencegahan jenayah dapat dilakukan dengan lebih efektif.

"Bila mereka bukan sahaja buat rondaan tetapi kenal (penduduk) secara dekat, kenal persatuan penduduk tempatan, kenal suri rumah tangga di situ, kenal rumah-rumah yang mungkin menjadi sasaran perompak, tahu siapa yang disyaki di satu-satu kawasan, maka kesannya amat besar.

"Kita tak perlu tunggu orang buat laporan di balai polis, tetapi URB ada di sisi masyarakat tempatan sepanjang masa," katanya.

Perdana Menteri berkata pasukan URB mesti melakukan rondaan sepanjang waktu, terutama pada waktu malam, selain perlu dilengkapi alat komunikasi supaya dapat bertindak dengan cepat apabila menerima panggilan kecemasan.

Artikel Lain