suria

PM Dijangka Lawat Sabah - Hishammuddin

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melawat Sabah dalam masa terdekat bagi menyampaikan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Perdana Menteri juga akan menyampaikan penghargaan kepada mereka yang berkepentingan.

"Perdana Menteri amat terharu dengan sumbangan dan pengorbanan semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan mereka yang berkepentingan dalam menangani insiden di Lahad Datu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Hishammuddin dalam rangka lawatan dua hari ke pantai timur Sabah meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang juga pengerusi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan Pengarah Imigresen Sabah Datuk Mohammad Mentek yang baharu dilantik sebagai Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Mengenai keselamatan di Sabah, Hishammuddin berkata keadaan boleh dianggap sudah kembali pulih.

"Hanya beberapa kampung di mana pembersihan masih berjalan dan diharap dapat dikemaskan dalam masa terdekat," katanya.

Hishammuddin turut menegaskan tidak ada perisytiharan dibuat di kawasan yang berkenaan.

"...dan apa yang telah diumumkan (penubuhan ESSZONE dan ESSCOM) tidak sesekali menghalang proses pilihan raya," katanya. BERNAMA

Artikel Lain