suria

Rumah terbakar, Bakal Pengantin Mungkin Tunda Majlis Perkahwinan

KUANTAN: Seorang bakal pengantin mungkin terpaksa menunda majlis perkahwinannya apabila rumah keluarganya di Kampung Pandan Dua, dekat sini rentung dalam kebakaran awal hari ini yang turut memusnahkan semua kelengkapan perkahwinan.

Emma Azila Sazali, 26, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 27 April ini berkata bapanya Sazali Sabtu, 54, pesara tentera, ibunya Normah Mokhtar, 53, juruteknik di Jabatan Kerja Raya Pahang dan tiga adiknya sedang nyenyak tidur apabila dikejutkan jeritan adiknya Khairul Izam, 24, mengatakan ada api dalam rumah.

"Api marak terlalu cepat dan saya bersama ahli keluarga lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana terlalu panik dan berlari keluar sehelai sepinggang untuk selamatkan diri," katanya dengan sebak dan menurutnya keluarganya mengalami kerugian lebih RM110,000.

Jurutera Elektrikal di sebuah syarikat swasta itu berkata mereka kini menumpang di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan dan menurutnya keluarganya masih belum dapat berbuat keputusan sama ada meneruskan majlis pernikahannya mengikut tarikh ditetapkan atau menundanya.

Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail hari ini mengunjungi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan RM5,000 dan menurutnya Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan menyumbang bantuan segera bagi meringankan bebanan keluarga itu.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas. - BERNAMA

Artikel Lain