suria

Jakim Tunggu Laporan Penahanan Anggota Kumpulan Global Ikhwan Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memantau perkembangan penahanan kakitangan Kumpulan Global Ikhwan Sdn Bhd di Arab Saudi yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kegiatan ajaran sesat di Tanah Suci.

Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata ia sedang menunggu laporan lanjut hasil siasatan kerajaan Arab Saudi berhubung penahanan itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia.

Dalam satu kenyataan Jumaat, beliau berkata Jakim sentiasa memantau pergerakan kumpulan itu dan siasatan turut dijalankan secara bersama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan di dalam dan luar negara.

"Sememangnya kita maklum akan pergerakan mereka sekalipun mereka berada di luar negara," katanya.

Othman berkata pihaknya turut menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Arab Saudi dalam mengambil tindakan terbaik memandangkan kumpulan itu telah lama bertapak di negara itu.

"Saya yakin kerajaan Malaysia juga tidak akan berlembut sekiranya Global Ikhwan didapati bersalah di bawah undang-undang Arab Saudi sehinggalah mereka benar-benar bertaubat," katanya.

Akhbar tempatan melaporkan Jabatan Imigresen Mekah dengan kerjasama Unit Risikan dan Pencegah Jenayah telah menahan seorang wanita Malaysia berusia 52 tahun bersama 95 lagi pengikutnya semasa sedang menjalankan upacara keagamaan di kota Mekah.

Wanita berkenaan dipercayai isteri kepada pengasas kumpulan Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad.

Media Arab Saudi, SABQ seperti dipetik akhbar itu, melaporkan bahawa kumpulan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia sejak Disember 2006.

Pengarah Cawangan Khas Ibu, Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Akhil Bulat dipetik dalam laporan media itu sebagai mengesahkan penahanan wanita itu dan rakyat Malaysia yang merupakan kakitangan Global Ikhwan.

Othman dalam pada itu berharap Jabatan Agama Islam negeri (Jain) bersedia mengambil tindakan selanjutnya sekiranya mereka dihantar pulang oleh kerajaan Arab Saudi.

Katanya Jakim juga bersedia untuk bekerjasama dengan Jain bagi mengadakan majlis istitabah (majlis taubat) dan siri pemulihan bagi memperbetulkan akidah mereka.

"Kita berharap pengikut kumpulan ini yang masih berada di negara ini supaya bertaubat dan tidak terus tertipu dengan ketua mereka kerana keputusan Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang secara jelas telah menghukum mereka sebagai sesat," katanya.

Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad yang juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah.

Ajaran tersebut sebelum ini tersebar dalam kalangan masyarakat Islam yang menganggapnya sebagai sebuah badan dakwah yang unggul sebelum ia difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994. - BERNAMA

Artikel Lain