suria

Edar Syabu: Rayuan Wanita Jepun Ditolak

PUTRAJAYA: Seorang wanita Jepun gagal dalam rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 3.49 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), empat tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Mohamed Apandi Ali pada Rabu sebulat suara menolak rayuan Mariko Takeuchi dan mengesahkan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Oktober 2011.

Keputusan rayuan itu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh jurubahasa kepada Takeuchi, 39, yang memakai baju kurung berwarna merah muda.

"Selepas meneliti rekod rayuan dan mendengar penghujahan dari kedua-dua pihak, kami tidak dapat melihat sebarang alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi," kata Mohamed Apandi yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Takeuchi, seorang bekas jururawat dari Tokyo, didapati bersalah melakukan kesalahan itu Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Sepang, pada pukul 9.55 malam, 30 Oktober 2009.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam Takeuchi, Affifuddin Ahmad Hafifi berhujah bahawa wujud pencanggah dalam barang kes yang dirampas dan yang dikemukakan di mahkamah.

"Kandungan berat dadah telah berubah semasa prosiding di peringkat Mahkamah Majistret berbanding berat yang direkodkan pada masa tangkapan," katanya.

Mohamed Apandi mempersoalkan mengapa berat dadah akan berubah dan apa sebab pegawai Kastam perlu menganiaya wanita Jepun itu.

Beliau berkata peguam sepatutnya menyediakan lebih banyak alasan kukuh untuk menyokong teorinya sekiranya berniat mempersoalkan integriti pegawai Kastam.

Nampak tenang ketika peguam memperjelaskan keputusan mahkamah, Takeuchi sekali-sekala dilihat mengesat linangan air mata. BERNAMA

Artikel Lain