suria

Mahkamah Persekutuan Kekalkan Hukuman Mati Terhadap Wanita Warga India

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang wanita warganegara India kerana mengedar 2.9 kg ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, empat tahun lepas.

Panel hakim lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan Fazila Bee Abdul Kareem, 64, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati dia bersalah mengedar dadah dan dihukum mati.

Fazila Bee, yang memakai baju kurung berwarna hijau tidak menunjukkan sebarang emosi apabila keputusan itu diumumkan.

Seorang jurubahasa Tamil kemudian menjelaskan kepada warga emas itu keputusan mahkamah dan bahawa Lembaga Pengampunan boleh meringankan hukuman mati kepada penjara.

Zulkefli dalam keputusannya berkata selepas mempertimbangkan hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati sabitan wanita itu adalah betul kerana terdapat bukti yang mencukupi yang dikemukakan pendakwaan semasa perbicaraan kes.

Fazila Bee, ibu kepada tiga anak dari Chennai, didakwa mengedar dadah di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada 2.30 petang 13 Februari 2009.

Pada 20 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan kesalahannya dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Fazila Bee selepas keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam pembelaannya, Fazila Bee mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari kerja dan ketika berada di lapangan terbang Chennai dia telah diminta oleh seorang wanita untuk mendaftar masuk sebuah beg kerana wanita itu akan bekerja dengannya di tempat yang sama di Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari berkata beliau meragui tertuduh kerana berpendapat umurnya lebih daripada itu dan tidak mungkin ada orang yang ingin mengambilnya sebagai pembantu rumah.

Beliau berkata keterangan tertuduh didapati penuh dengan percanggahan serta tidak langsung dapat diterima akal.

Rayuan Fazila Bee ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 10 April tahun lepas.

Fakta kes itu mendedahkan pegawai kastam mendapati dadah itu disembunyikan di dalam beg yang dibawanya sebaik tiba di KLIA.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache berkata berdasarkan keseluruhan bukti, Fazila Bee mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan terhadap dadah itu yang membolehkannya disabitkan terhadap tuduhan mengedar.

Peguam yang mewakili T. Suresh berhujah wanita itu tidak mengetahui kandungan beg berkenaan dan dia berhak dibebaskan berdasarkan prinsip undang-undang yang ada.

Beliau berkata keterangannya di mahkamah adalah konsisten dengan kenyataan beramaran iaitu begnya diperiksa oleh seorang wanita yang sepatutnya mengikuti Fazila Bee ke Malaysia tetapi wanita itu tidak muncul. - BERNAMA

Artikel Lain