suria

Kerajaan Tubuh Pasukan Petugas Bantu SEktor Pelancongan Sabah

KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi membantu memulihkan industri pelancongan di Sabah yang terjejas akibat ancaman pengganas di Lahad Datu.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pasukan itu akan diwakili kementeriannya, Lembaga Pelancongan Sabah serta pengusaha industri pelancongan di Sabah, dan berperanan memastikan promosi yang lebih agresif selain menunjukkan kepada dunia bahawa Sabah masih selamat untuk dikunjungi.

"Kami sedang bekerja keras untuk menangani situasi ini. Yang pertama, kita akan undang rakan media untuk melawat Sabah terutama Sandakan, Tawau dan Semporna agar mereka dapat lihat sendiri kestabilan di situ.

"Yang kedua semua acara pelancongan di Sabah seperti regata (Regatta Lepa Lepa) yang akan diadakan di Semporna pada minggu terakhir April, akan berlangsung seperti dirancang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Kasut Antarabangsa Malaysia (MISF) 2013, di sini Khamis.

Ng berkata berdasarkan kajian oleh kementeriannya, kadar penginapan hotel di Sabah turun 35 peratus termasuk di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, selepas kejadian pencerobohan itu.

"Apabila ada yang bertanya mengapa Kota Kinabalu, Sandakan dan tempat lain mencatatkan penurunan, saya beritahu ini kerana apabila pelancong datang ke Sabah, mereka mahu ke banyak tempat seperti Sandakan untuk melihat tempat perlindungan orang utan, menyelam di pulau dan sebagainya, jadi semua ini berkait," katanya.

Ng juga menegaskan negeri itu masih selamat untuk dikunjungi dan kementeriannya memantau rapi perkembangan di kawasan yang diancam pengganas.

Sementara itu, festival empat hari bertema '1Malaysia-Walking in Unity, Sole of The Nation' berkenaan disertai 150 jenama kasut tempatan dan antarabangsa.

Festival itu menjadi platform kepada industri untuk meluaskan jaringan kerja selain mengembangkan dagangan dengan kehadiran pengusaha serta pembeli dari 40 negara termasuk Timur Tengah, Perancis dan Amerika Syarikat.

MISF 2013 dijangka menarik 65,000 pengunjung tempatan dan asing. - BERNAMA

Artikel Lain