suria

Kerajaan Tidak Boleh Kawal Semua Harga Barang - Ismail Sabri

ALOR SETAR: Kerajaan tidak boleh bertindak untuk mengawal harga semua barangan dan perkhidmatan kerana tindakan itu boleh memberi kesan kepada golongan peniaga dan pengeluar sektor terbabit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya kerajaan hanya boleh mengawal harga tujuh jenis barangan yang melibatkan subsidi iaitu gula, tepung gandum, beras, minyak masak, petrol RON95, diesel dan gas LPG.

"Yang lain tak dikawal. Kalau terlampau kawal harga...ikan kembung sebagai contoh. Nelayan pun nak meneruskan hidup, kalau kawal sangat harga sehingga mereka tidak boleh hidup, itu boleh tutup periuk nasi nelayan.

"Sebagai pengguna, kita nak yang paling murah, bagi nelayan pula nak jual paling mahal kerana ia akan meningkatkan pendapatan dia. Kalau harga ikan rendah, lebih baik mereka tak jual, jadi tak ada penawaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Semula Pekan Rabu di Dataran Che Det Mall, di Kompleks Pekan Rabu Alor Setar di sini, Khamis.

Katanya Malaysia merupakan negara yang mengamalkan pasaran bebas dan pastinya daya pasaran yang akan menentukan harga kerana apabila permintaan banyak, harga turut mengalami kenaikan.

"Seluruh dunia macam tu. Di Mekah pun macam tu, musim haji, hotel naik lima kali ganda. Pengguna perlu guna kebijaksanaan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain