suria

600 Rumah Di Johor Bahru Akan Dijual Hampir Dengan Harga Kos

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menawarkan untuk membina dan menjual rumah pada harga yang berpatutan, hampir dengan harga kos - RM200,000 dan ke bawah.

Projek pertama melibatkan 600 rumah yang akan dibina dalam dua fasa di Taman Uda Utama, Johor Bahru, di tanah seluas empat hektar yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Johor bagi tempoh pegangan pajakan 99 tahun.

Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas berkata rumah kos sederhana di Taman Uda Utama akan menelan kos RM180,000 setiap satu dan dibina untuk isi rumah yang berpendapatan RM3,500 hingga RM7,000.

Beliau juga berkata 70 peratus daripada rumah-rumah tersebut akan diperuntukkan kepada orang Melayu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung memuji DPMM dan berkata ia melengkapkan usaha kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

"Ini adalah kali pertama sebuah organisasi tampil ke hadapan untuk membina rumah mampu milik pada harga hampir dengan harga kos," katanya, pada Khamis selepas melancarkan laman web DPMM dan menyampaikan hadiah kepada pemenang yang terlibat dalam program reka bentuk rumah kos sederhana.

Beliau menggesa semua kerajaan negeri supaya menawarkan tanah pada premium yang rendah kepada DPMM untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat.

Artikel Lain