PUTRAJAYA: Seorang bekas pemilik bersama sebuah pusat asuhan kekal bebas selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya atas tuduh merogol seorang kanak-kanak perempuan
pra sekolah berusia empat tahun, kira-kira lima tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menolak rayuan pihak pendakwa raya secara sebulat suara terhadap keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Ewe Peng Lip, 50.
Berdasarkan semakan rekod rayuan dan mendengar penghujahan pihak-pihak
berkenaan, Apandi berkata panel mendapati terdapat justifikasi fakta dan
undang-undang bagi Mahkamah Tinggi memutuskan sabitan Ewe adalah tidak selamat.
"Kami melihat tidak ada alasan untuk mengganggu pendapat Mahkamah Tinggi.
Kami mengesahkan keputusan itu," katanya yang bersidang bersama-sama Datuk
Linton Albert dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Sept tahun lepas
yang mengetepikan hukuman Mahkamah Seksyen yang mensabitkan Ewe dan mengenakan
hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan.
Ewe didapati bersalah melakukan kesalahan itu di pusat asuhan berkenaan di Bukit Dumbar, George Town, Pulau PInang antara 8.10 pagi dan 12 tengah hari antara Januari dan April 2008.
a prosiding rayuan, Timbalan Pendakwa Raya, Andi Razalijaya Dadi berkata pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang menyakinkan untuk mensabitkan Ewe bagi kesalahan itu.
Beliau berkata testimoni kanak-kanak itu bukan fantasi semata-mata dan pakar
psikologi telah mendapati mangsa paling berkemungkinan menjadi mangsa penderaan
seksual.
Andi kemudian meminta mahkamah menggunakan kuasa sedia ada di bawah Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mengurangkan tuduhan kepada pertuduhan mencabul kehormatan.
Bagaimanapun, peguam Ewe, Datuk V. Sithambaram, berhujah bahawa tiga doktor
berasingan telah gagal mencari bukti perubatan bagi menyokong keterangan mangsa.
Menurutnya, wujud kesangsian dalam keterangan mangsa yang menyebabkan
sabitan terhadap Ewe adalah tidak selamat.- BERNAMA