suria

PRU-13: Polis Digesa Bertindak Awal Jika Ada Pihak Rancang Buat Kecoh

KUALA LUMPUR: Polis diminta mengambil tindakan lebih awal jika mendapat bukti sekiranya terdapat pihak-pihak tertentu yang merancang untuk melakukan kekecohan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata soal keselamatan ketika pilihan raya umum adalah penting dan pihak berkuasa perlu bertindak segera apabila mendapat maklumat mengenai rancangan yang boleh mengganggu kelancaran PRU-13 nanti.

"Kalau ada dokumen... ada maklumat bahawa akan ada gangguan kenapa tak boleh bertindak dari awal.

"Kenyataan Pengerusi SPR bahawa akan ada kumpulan ajaran sesat yang akan buat kacau pada hari mengundi, beliau kena sebut kumpulan mana," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS dekat sini, Rabu.

Beliau berkata, pasukan keselamatan yang diberi kuasa untuk menjaga soal keamanan tidak seharusnya hanya bercakap tentang kekecohan yang akan ditimbulkan tanpa disusuli tindakan.

"Melainkan mereka (polis) memang mahu galakkan berlaku gangguan dan kekacauan," katanya.

Beliau berkata demikian berikutan terdapat banyak dakwaan bahawa pihak pembangkang akan melakukan lebih banyak kekecohan ketika pilihan raya umum berlangsung.

Dakwaan turut menyebut bahawa polis telah mempunyai bukti berupa maklumat dan dokumen berhubung niat tidak baik kumpulan pembangkang menjelang pilihan raya.

Artikel Lain