suria

Polis Melaka Rampas 87 Set Komputer Aktiviti Judi Bernilai Lebih RM43,000

MELAKA: Polis merampas 87 set komputer bernilai RM43,500 di tiga premis berasingan di Taman Bachang Baru di sini dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian.

Ketua Turus Unit Pencegahan Perjudian Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ASP Azahar Abdul Rahim berkata serbuan pada 4.30 petang Selasa itu melibatkan lapan anggota unit tersebut ekoran aduan diterima melalui e-aduan kerajaan negeri Melaka.

"Aduan awal diterima melibatkan dua premis yang menjalankan aktiviti perjudian di kawasan tersebut namun kita berjaya mengesan sebuah lagi premis berhampiran yang turut terlibat dalam perjudian berkomputer," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata tiada tangkapan dibuat kerana kesemua premis itu tidak beroperasi dan berkunci menyebabkan pihaknya terpaksa memecahkan pintu masuk setiap premis berkenaan.

Katanya siasatan lanjut mendapati satu daripada premis terbabit telah beberapa kali diserbu namun aktiviti berkenaan masih aktif dengan menggunakan beberapa taktik baharu termasuk menjalankan aktiviti perjudian dalam keadaan lebih tertutup, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan magnet di pintu masuk bagi menyukarkan pihak berkuasa memasuki premis.

Azahar berkata premis terbabit turut berselindung di sebalik papan tanda premis lain seperti menjual haiwan peliharaan serta menjadikan premis yang digunakan seperti bangunan tinggal.

Katanya premis perjudian haram itu dikesan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM89,000 kepada pemenang utama sebagai umpan menarik pelanggan untuk bertaruh lebih banyak dalam sesuatu permainan.

Polis akan memanggil pemilik premis tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan, katanya. BERNAMA

Artikel Lain