suria

Penganggur Didakwa Cuba Bunuh Dua Anggota Polis

PETALING JAYA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan cuba membunuh dua anggota polis sembilan hari lalu.

Muhammad Azeem Ezzani Mat Nasir, 20, didakwa cuba membunuh Konstabel Kelvin Koh Anak Kenneth dari Balai Polis Sungai Buloh, dan Konstabel Indra Agil Suparman dari Balai Polis Kampung Baru Subang, dengan cuba melanggar mereka menggunakan kereta.

Dia didakwa melakukan kesalahan terhadap kedua-dua anggota polis yang berumur awal 20-an itu di kawasan tempat letak kereta berhampiran Apartmen Subang Hijauan Kampung Baru Subang pada 8.30 malam, 18 Mac lepas.

Dakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh. BERNAMA

Artikel Lain