suria

Pembangkang Tidak Yakin Dengan Manifestonya Yang Tidak Realistik

KUALA LUMPUR: Keengganan DAP menggunakan waktu siaran 10 minit yang diperuntukkan kepada semua parti politik untuk membentangkan manifesto masing-masing menunjukkan pembangkang tiada keyakinan dalam janji pilihan raya mereka yang kosong dan tidak realistik.

Setiausaha Agung Pemuda MCA Datuk Chai Kim Sen berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sepatutnya menghargai peluang ini sekiranya parti itu mempunyai manifesto yang baik.

"Sebelum ini, Lim berulang kali mengkritik stesen televisyen yang dikendalikan kerajaan kerana tidak menyediakan pentas bagi parti pembangkang menyiarkan manifesto pilihan raya mereka. Tetapi sekarang pentas sudah diberi, mereka pula bagi bermacam-macam alasan seperti 'memberi kami waktu siaran 10 minit tidak bermakna kami mempunyai kebebasan bersuara.'

"Lim mungkin membentangkan dasar dan model pembangunan tidak boleh laksana, tetapi bagi Pakatan Rakyat untuk mengatakan masa 10 minit tidak cukup adalah alasan untuk mengelak daripada muncul pada waktu siaran itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Chai berkata pakatan pembangkang gagal untuk menghasilkan dasar dan model pembangunan ekonomi sewajarnya dan pada masa sama mengabaikan pendidikan bahasa ibunda serta kepentingan masyarakat bukan Islam.

"Berdasarkan statistik konservatif, 200 perkataan mungkin diungkapkan dalam masa satu minit dan 10 minit adalah masa yang cukup untuk menuturkan 2,000 perkataan. "Jika Lim ada hujah yang kukuh, 10 minit lebih daripada cukup," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain