suria

Mahkamah Tangguh Penghakiman Sama Ada Mahkamah Perusahaan Boleh Mempelbagai Hukuman

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada Mahkamah Perusahaan diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai keterukan hukuman terhadap pekerja yang dipecat atas sebab salah laku.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif telah menangguhkan penghakiman mereka selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak berkenaan dalam kes persoalan undang-undang tunggal.

"Kami telah mengambil perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan dan akan menyampaikan penghakiman," kata Raus yang bersidang bersama Hakum Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Abdull Hamid Embong.

Persoalan undang-undang yang dibangkitkan adalah sama ada Mahkamah Perusahan boleh mempertimbangkan hukuman buang kerja sebagai terlalu keras walaupun majikan telah membuktikan salah laku.

Pemecatan adalah bentuk hukuman paling berat sebaik sahaja soal salah laku dibuktikan.

Pada 10 November 1999, siasatan dalaman diadakan terhadap Norizan Bakar, seorang pembantu khas kepada pengerusi syarikat atas empat tuduhan termasuk melanggar kod tingkah laku syarikat Panzana Enterprise Sdn Bhd.

Dia didakwa tidak mendedahkan dan mendapatkan kelulusan bertulis daripada ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat itu mengenai kepentingannya sebagai pengarah syarikat NK Media Sdn Bhd.

Panel siasatan dalaman mendapati Norizan bersalah atas empat tuduhan dan menamatkan perkhidmatannya melalui surat bertarikh 18 Nov 1999 yang mendorong beliau memfailkan tuntutan di Jabatan Perhubungan Perusahan untuk mengembalikan semula jawatannya.

Menteri Sumber Manusia kemudian merujuk kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan untuk membuat keputusan.

Pada 5 Januari 2006, Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa pemecatan Norizan adalah tanpa sebab atau alasan walaupun ia (Mahkamah Perusahaan) mendapati dia bersalah atas pertuduhan keempat iaitu melanggar kod kelakuan yang ditetapkan oleh syarikat.

Bagaimanapun, Mahkamah Perusahaan menyatakan kesalahan itu adalah kecil dan tindakan Panzana memecat Norizan adalah terlalu keras.

Mahkamah Perusahan kemudian mengeluarkan perintah bahawa Norizan dibayar RM109,000 sebagai tunggakan gaji kebelakang dan pampasan berjumlah RM39,000 sebagai gantian kepada pelantikan semula.

Panzana kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan tetapi tidak berjaya dan kemudian mengemukakan rayuan.

Pada 10 Februari tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Panzana. Pada 22 Oktober tahun lepas, Norizan mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding rayuan pada Selasa, peguam Norizan, V.K.Raj berhujah bahawa Mahkamah Perusahaan mempunyai kuasa untuk melihat ke dalam pekadaran daripada hukuman itu.

Beliau berkata Mahkamah Perusahaan mempunyai kewajipan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk menimbang sama ada salah laku terbukti mewajarkan hukuman melampau iaitu pemecatan.

"Mahkamah tidak boleh menggantung seorang kerana hanya meletak kenderaan di garisan kuning," katanya.

Peguam A. Ramadass, yang mewakili Panzana, berhujah bahawa Mahkamah Perusahaan tidak mempunyai kuasa untuk mempelbagaikan hukuman selepas salah laku dibuktikan.

Beliau berkata tahap keterukan hukuman telah ditentukan oleh majikan, sambil menambah soal adil atau tidak dalam pemecatan tidak ditentukan mmengikut gerak hati tribunal berkenaan.

Anand Ponnudurai, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan memberi panduan kepada kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Perusahaan.

Beliau berkata kini terdapat keputusan bercanggah oleh mahkamah atasan sama ada Mahkamah Perusahaan mempunyai kuasa untuk membatalkan pemecatan apabila salah laku adalah kecil. BERNAMA

Artikel Lain