suria

Felda Guna Sebahagian Perolehan Penyenaraian Untuk Peluasan Seberang Laut

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada perolehan RM10.4 bilion hasil daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan digunakan untuk mengembangkan pasaran di Indonesia, Myanmar dan Kemboja.

Naib presiden kanan dan ketua perladangan Felda Global Ventures Plantations (M) Sdn Bhd (FGVPM) Malaysia, Ismail Hassan berkata dengan kawasan tanah seluas 14,000 hektar syarikat di Kalimantan, adalah tidak ekonomi untuk membina kilang minyak sawit yang baru.

"Kami perlu mengembangkan keluasan hektar dalam usaha membina kilang yang boleh komersil secara berdaya maju," kata beliau kepada pemberita selepas majlis pembayaran zakat FGVPM berjumlah RM10 juta kepada tujuh negeri di sini, Rabu.

Ismail berkata dalam perniagaan perladangan, seseorang itu mesti memikirkan jumlahnya.

"Jika tidak menguntungkan secara ekonomi, maka, persamaan logistik pula perlu diambil kira. Sekiranya kosnya tinggi, ia akan merugikan kita," kata beliau sambil menambah yang penyumberan untuk tanah di Malaysia agak sukar sekarang ini.

"Di Sabah dan Sarawak, tanahnya gambut dalam dan kita perlukan sekurang-kurangnya keadaan gambut yang cetek untuk penanaman," kata beliau.

Beliau berkata yang FGV menghasilkan 3.3 juta tan metrik minyak sawit mentah setiap tahun dan ia perlu terus mengekalkan ataupun menambah jumlah itu.

"FGV pada masa ini mengendalikan kira-kira 350,000 hektar estet perladangan kelapa sawit di Malaysia yang menghasilkan 5.2 juta tan metrik tandan buah segar pada 2011," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain