suria

Syarikat Pertahanan Diminta Jadikan Malaysia Negara Rakan Kongsi

LANGKAWI: Negara-negara serta pemain industri pertahanan diminta menjadikan Malaysia serta negara lain di rantau Asean sebagai rakan kongsi dan bukan semata-mata negara pengguna dalam soal pembelian aset ketenteraan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini penting bagi mengelak Malaysia dan negara serantau ketinggalan dalam arus pemodenan senjata serta teknologi ketenteraan.

"Sebab itu saya tegaskan mana-mana syarikat pertahanan yang ingin berkolaborasi dengan kita (Malaysia) hendaklah menganggap kita sebagai rakan kongsi, bukannya negara pengguna sahaja," katanya kepada pemberita pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di sini, Selasa.

Ahmad Zahid menarik perhatian ini ditekankan dalam rancangan pembelian pesawat pejuang pelbagai fungsi (MRCA) dengan kementerian menggariskan beberapa elemen yang perlu dipenuhi syarikat yang ingin menawarkan pesawat mereka.

Antaranya ialah aspek pemindahan teknologi dan tawaran latihan kepada rakyat tempatan.

Mengenai apa yang dilihat kurangnya nama-nama besar sektor pertahanan pada penganjuran LIMA kali ini, Ahmad Zahid berkata krisis ekonomi yang melanda mungkin memberi kesan kepada beberapa syarikat pertahanan seperti di benua Eropah. BERNAMA

Artikel Lain