suria

RM200 Ribu Untuk Baik Pulih Kabel MRI Yang Terbakar Di HUS

KUCHING: Kos baik pulih kabel perkhidmatan Magnetic Resonance Imaging (MRI), antara kelengkapan yang terbakar dalam kejadian di Hospital Umum Sarawak (HUS) malam Isnin dianggarkan RM200 ribu, kata Pengarahnya Dr Abdul Rahim Abdullah.

Beliau berkata sehubungan itu, perkhidmatan MRI hospital dijangka tergendala dan hanya mula beroperasi selewat-lewatnya pada Isnin depan.

"Kabel MRI yang berusia 10 tahun itu akan kita ganti...Kita akan lakukan 'cabling' yang baru dalam masa dua atau tiga hari ini untuk pulihkan semula perkhidmatan tersebut (MRI).

"'Cabling' bukan saja untuk baik pulih, tetapi juga menambah baik supaya tidak lagi berlaku perkara sama pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di HUS, Selasa.

Pada Isnin kira-kira 7.55 malam, 'boilerman' HUS mengesan asap dari celah penutup konkrit terowong bawah tanah yang membekalkan kemudahan utiliti antaranya saluran paip gas perubatan, saluran oksigen dan kabel MRI ke bangunan utama HUS yang kemudian didapati terbakar.

Bomba dipanggil untuk memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Dr Abdul Rahim berkata dewan bedah HUS yang ditutup semalam ekoran kebakaran saluran paip gas perubatan dijangka kembali beroperasi malam ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh ditutup itu, sebanyak tujuh kes kecemasan melibatkan pembedahan telah dirujuk kepada Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan; dan dua buah hospital swasta di sekitar Kuching.

"Dewan bedah akan kembali beroperasi malam ini, manakala dewan bedah elektif (pembedahan kecil dan berjadual) pula dijangka kembali beroperasi pada hari Khamis. BERNAMA

Artikel Lain