suria

PRU-13: Ramai Tidak Sahut Seruan ‘Ubah’ - Chua

GOPENG: Seruan DAP untuk ‘Ubah’ gagal mendapatkan perhatian kaum Melayu dan India manakala masyarakat Cina mula mempersoalkan kewajaran seruan itu, kata Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Presiden MCA itu berkata, DAP gagal untuk meyakinkan majoriti rakyat bahawa seruan itu boleh membuat kehidupan yang lebih baik bagi mereka.

Berdasarkan maklum balas, termasuk dari lawatan beliau ke kampung-kampung di seluruh negara, Dr Chua berkata, majoriti kaum Melayu dan India tidak percaya tentang Ubah.

Malah bagi segelintir kaum Cina, yang pada mulanya mahu untuk mencubanya selama lima tahun, turut mempunyai pandangan yang sama, katanya.

Dr Chua berkata, hasil yang memberangsangkan dapat dilihat dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara dan program-program lain di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Fakta dan angka bercakap lebih kuat daripada retorik, atau lebih teruk lagi, janji-janji kosong," katanya.

Dr Chua berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini adalah 5.6% dan ia berdasarkan pelan ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan dan bukan sekadar slogan seperti Ubah.

Artikel Lain