suria

Kertas Siasatan Terhadap Pengerusi Himpunan Hijau Lengkap Sepenuhnya

KUANTAN: Kertas siasatan terhadap Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack yang mengancam untuk membakar kilang Lynas Malaysia di Gebeng dekat sini, telah lengkap sepenuhnya.

Timbalan Ketua Polis Pahang SAC Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata, kertas siasatan yang lengkap itu juga telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pahang dan difahamkan kini berada di Putrajaya.

"Setakat ini kita sedang menunggu keputusan daripada pihak berkenaan untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 di sini, Isnin.

Beliau berkata, ancaman Wong Tack itu dilihat serius dan atas sebab itu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan tetap berjalan biarpun sebelum ini beliau telah memohon maaf.

Pada 4 Februari lepas, akhbar berbahasa Cina dan beberapa portal berita melaporkan Wong Tack mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk membakar kilang nadir bumi itu sekiranya tidak ditutup selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Namun pada 7 Februari, pengerusi pertubuhan bukan kerajaan yang didalangi pembangkang itu dilaporkan memohon maaf atas ugutan itu dalam satu ceramah anjuran pembangkang. - BERNAMA

Artikel Lain