suria

Kabin Sementara Esscom Tiba Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Tiga kabin untuk menempatkan pejabat sementara Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom) tiba di Pangkalan Polis Marin, di sini Isnin.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, tiga kabin yang berharga kira-kira RM80,000 sebuah itu, dijangka beroperasi secepat mungkin.

"Kami telah memanggil Jabatan Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mencari jalan bagaimana pejabat ini dapat berfungsi dengan kadar segera.

"Kita tempatkan semua kabin di sini (Pangkalan Polis Marin) sementara mencari tapak yang sesuai untuk membangunkan sebuah ibu pejabat di Lahad Datu," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Sabah itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri Sabah. - BERNAMA

Artikel Lain