suria

Stor Tisu Musnah Dalam Kebakaran Di Melaka

MELAKA: Sebuah stor kilang memproses tisu musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Krubong di sini, awal hari Ahad.

Pegawai Pengurusan Balai Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Melaka Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.22 pagi sebelum tujuh jentera dari balai bomba Bukit Katil, Ayer Keroh dan Tangga Batu bersama 36 pegawai dan anggota tiba di lokasi kejadian pada 2.35 pagi.

Beliau berkata setiba di lokasi, pihaknya mendapati sebuah blok bangunan yang merupakan stor penyimpanan tisu kilang tersebut telah musnah dijilat api.

"Bomba bagaimanapun berjaya menyelamatkan sebuah lagi blok kilang melibatkan tempat memproses tisu bernilai RM1 juta dan mengawal api dari merebak ke 15 buah rumah yang terletak 20 kaki dari kawasan kilang," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kebakaran tersebut pada mulanya cuba dipadamkan 20 pekerja warga Bangladesh ketika api masih kecil namun tidak berjaya. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain