suria

PM Ketengah Mesej Gaya Hidup Sihat

PUTRAJAYA: Tatkala bahang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) semakin memuncak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengalih tumpuan buat seketika daripada membicarakan soal politik, untuk meluangkan masa bersantai dengan orang ramai di sini, membawa mesej mengenai amalan gaya hidup sihat.

Beliau berkata akibat kepesatan kemajuan, gaya hidup masyarakat kontemporari rakyat Malaysia kini sudah berubah sama sekali berbanding suatu ketika dahulu, sehingga mengakibatkan negara berhadapan dengan masalah seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi.

"Ini bukan satu yang saya nak momokkan sahaja tapi ini realiti, doktor saya beritahu Malaysia ini ramai yang mengalami hypertension, saya ada angkanya, kalau saya sebut, menakutkan.

"Ini semua kita mesti betulkan sebab gaya hidup kita kini sudah banyak berubah," katanya semasa berucap di hadapan kira-kira 15,000 hadirin yang berhimpun seawal pukul 7 pagi untuk bersama-sama memeriahkan majlis Jom Ceria Bersama Perdana Menteri di Dataran Putrajaya di sini.

Majlis anjuran bersama Yayasan Rakyat 1Malaysia dan Perbadanan Putrajaya itu adalah lanjutan kepada acara Langkah Ceria dan Kayuhan Ceria yang diadakan Perbadanan Putrajaya pada Ahad ketiga setiap bulan.

Ia bertujuan menampilkan amalan gaya hidup sihat di samping menyatupadukan rakyat berbilang kaum, mempromosi aktiviti riadah, di samping berusaha membawa kehadiran orang ramai menikmati kemakmuran sekitar kawasan pusat pentadbiran negara.

Perdana Menteri berkata andainya seluruh rakyat dapat memecah tembok yang memisahkan antara mereka sehingga kegiatan sukan, riadah, sosial dapat dijayakan dengan sempurna tanpa mengira batas kaum, budaya, bangsa dan agama, maka ia akan mampu melahirkan sebuah masyarakat yang lebih padu, lagi utuh.

Beliau berkata falsafah 1Malaysia dapat diterjemahkan dengan lebih baik dalam bentuk kegiatan-kegitan seperti hari ini, apabila semua dapat berhimpun atas semangat cerminan satu bangsa Malaysia.

"Kita juga ingin menyemarakkan lagi semangat untuk bekerja dalam satu komuniti, walaupun nilai individu adalah penting, maknanya individu itu sebagai satu unit yang paling kecil adalah penting, tapi kita tidak mahu ada kalangan masyarakat yang terlalu individualistik.

"Dalam erti kata lain apa dia nak lakukan, dia akan buat tanpa menghiraukan orang lain. Itu hanya akan membawa kepada keadaan yang ekstrem. Apa yang kita nak ialah individu itu kita bangunkan, dan beri peluang kepadanya supaya dari segi potensinya, dia akan dapat sampai ke tahap optimum," katanya.

Sementara itu, keceriaan terpancar di wajah orang ramai yang berhimpun sebaik sahaja kedengaran paluan gendang oleh kumpulan Deafbeat yang menandakan bermulanya acara pagi ini.

Ia disusuli dengan pertunjukan seni bela diri oleh Majlis Pendekar Malaysia, sebelum pengacara majlis menjemput beberapa ikon muda naik ke pentas untuk menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara.

Selepas menyampaikan amanatnya, Najib bersama ribuan wajah-wajah ceria Putrajaya berjalan kaki sejauh kira-kira 1 kilometer di sekitar Persiaran Perdana, dengan acara pelepasan disempurnakan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor. BERNAMA

Artikel Lain