suria

Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Buluh Cedera Dipukul Dua Remaja

KUALA TERENGGANU: Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Buluh, Hulu Terengganu menerima lima jahitan selepas dipukul dua beradik dipercayai kerana dendam di Kampung Buluh, pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian berlaku 6.15 petang setelah mangsa yang berusia 37 tahun melarang remaja itu bermain sepak takraw di tepi jalan di kampung berkenaan sebelum mangsa bertindak menolak suspek daripada bermain.

Katanya tidak berpuas hati dengan tindakan itu, suspek yang berusia 22 tahun memanggil adiknya yang berusia 20 tahun lalu berlaku pergaduhan dan pertengkaran.

"Suspek berusia 22 tahun itu yang berang dengan teguran itu bertindak memukul mangsa dengan menggunakan sebatang kayu dan menyebabkan mangsa cedera di bahagian kepala.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini Ahad.

Menurutnya dua beradik itu ditahan 11 malam tadi di rumahnya di Kampung Buluh, Hulu Terengganu.

Manoharan berkata pihak polis turut merampas dua batang kayu yang digunakan oleh adik-beradik itu untuk memukul mangsa.

Kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan pihak polis menolak tanggapan bahawa terdapat unsur politik di dalam kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata. - BERNAMA

Artikel Lain