suria

KDN Yakin Kerajaan Akan Tubuh Suruhanjaya Khas Siasat Insiden Pencerobohan Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya khas atau membuka kertas putih untuk menyiasat insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata ini penting bagi mendedahkan dan menyiasat siapa pihak ketiga dan individu tertentu yang menyebarkan maklumat tidak benar melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan internet.

"Banyak perkara yang digembar-gemburkan melalui SMS dan internet dan perkara itu 98 peratus tidak benar. Contohnya empat buah sampan yang dinaiki 10 individu di Tawau dikatakan menyerang, padahal mereka itu nelayan...semua yang dikatakan itu tidak ada asas langsung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pemuda Barisan Nasional Gombak di Ahad.

Hishammuddin berkata dalam usaha melihat kebenaran, orang ramai perlu rasional mentafsir dan melihat tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengeksploitasi insiden pencerobohan itu.

"Semua kaum termasuk Suluk di Sabah bersatu-padu, jadi janganlah cuba melaga-lagakan mereka dengan sebarang maklumat yang tidak benar demi kepentingan sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain