suria

Usah Mudah Percaya Pihak Mengaku Ejen Pembelian Tanah Di Sarawak - Taib

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberi peringatan kepada rakyat agar tidak mudah mempercayai orang yang mendakwa sebagai ejen bagi urusan pembelian tanah di Sarawak.

Beliau berkata sesiapa saja boleh mengatakan atau mendakwa mereka sebagai ejen, tetapi rakyat perlu tahu bahawa ini tidak semestinya benar.

"Rakyat perlu berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan pembohongan ini, dan mempercayai bahawa mereka ini ejen saya...orang boleh mendakwa mereka ejen saya, mereka boleh berlakon menjadi ejen saya tetapi ini tidak semestinya benar. "Kita ada sistem sendiri di sini, jadi berpegang teguhlah kepada sistem itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dewan serbaguna baharu Kampung Lintang di sini, Sabtu.

Taib diminta mengulas paparan klip video menerusi YouTube oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di London, Global Witness, yang mengaitkan beliau dan keluarganya dalam apa yang didakwa sebagai penyelewengan dalam urusan jual beli tanah. Klip video bertajuk 'Inside Malaysia's Shadow State' yang tersebar luas di internet, memaparkan penyiasat Global Witness berlagak sebagai pelabur asing dan merakamkan sebahagian perbualan mereka dengan sepupu Taib, Norlia dan Fatimah Tun Abdul Rahman, serta peguam kononnya berhubung pembelian tanah di Sarawak untuk meraih keuntungan besar.

Norlia dan Fatimah ialah anak perempuan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang juga bapa saudara Taib.

Ditanya sama ada beliau atau kerajaan negeri akan mengambil tindakan menyaman NGO terbabit, Taib berkata beliau sedang meneliti perkara itu.

"Saya cuba mencari apa yang sebenarnya berlaku dan apakah peringkat siasatan yang perlu dilakukan. Namun apa yang boleh saya katakan ialah memang nyata sekarang mereka sebenarnya bukanlah memperjuangkan apa yang mereka ucapkan, sebaliknya mereka cuba menyokong pembangkang terutamanya dalam pilihan raya akan datang, tiada siapa yang boleh menafikannya." katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata tindakan Global Witness itu adalah usaha untuk memecah-belah perpaduan yang sudah lama di pupuk di Sarawak, namun beliau yakin rakyat akan terus teguh menyokong kepimpinan negeri di bawah Taib.

"Ada orang tidak suka dengan perpaduan yang telah lama kita pupuk, tidak suka kejayaan Sarawak dan Malaysia amnya.

"Jika dulu orang dalam negara dipergunakan, kali ini mereka guna orang luar supaya kita berpecah belah, perpaduan itu penting dan kita akan berdiri teguh di belakang pimpinan Ketua Menteri untuk terus bawa kejayaan kepada kita (Sarawak)," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain