suria

Transformasi Alaf 21 Majukan Masyarakat Luar Bandar - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Perasmian Program Rimbunan Kaseh di Tanjung Besar, Benta di Kuala Lipis, Pahang pada Sabtu-Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Perasmian Program Rimbunan Kaseh di Tanjung Besar, Benta di Kuala Lipis, Pahang pada Sabtu-Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Perasmian Program Rimbunan Kaseh di Tanjung Besar, Benta di Kuala Lipis, Pahang pada Sabtu-Foto BERNAMA

KUALA LIPIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangunan kawasan luar bandar berkonsepkan pembinaan projek perumahan dan ekonomi pada alaf 21 merupakan transformasi kerajaan dalam memastikan kehidupan masyarakat luar bandar setanding di bandar.

Katanya transformasi yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu hingga kini itu juga bagi memastikan masyarakat luar bandar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya menikmati pendapatan RM1,000 ke atas sebulan.

"Konsep pemodenan ini telah berjaya di mana landskap dah berubah di kawasan luar bandar termasuk di Felcra, Felda dan Risda.

"Kita mahu gaya dan cara hidup bandar dan moden di bandar dibawa ke luar bandar, bukan pembangunan fizikal sahaja tetapi mencakupi sifat menyeluruh pembangunan abad ke-21," katanya ketika berucap merasmikan projek Rimbunan Kaseh di Tanjung Besar, dekat sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Syukri Mohd Salleh.

Najib berkata projek Rimbunan Kaseh yang berkonsepkan komuniti bersepadu dengan kemudahan perumahan dan projek pertanian kepada penduduk luar bandar adalah usaha berterusan kerajaan membela nasib serta mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan.

Projek bernilai RM37 juta itu dibangunkan oleh IRIS Corporation Berhad dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Agama dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) dengan menempatkan 100 keluarga asnaf fakir miskin di negeri ini di kawasan seluas 12 hektar.

Setakat ini sebanyak 76 buah rumah sudah disiapkan dan 71 keluarga sudah mula menduduki perumahan berkenaan sejak 1 Dis tahun lalu manakala baki 24 lagi rumah dijangka siap pada Ogos atau September depan.

"Projek Rimbunan Kaseh di sini merupakan projek pertama yang siap sejak ia diputuskan pada 21 Februari tahun lepas, selain dapat dilaksanakan dalam waktu singkat dan boleh dianggap sebagai role model atau projek teristimewa yang menjadi perintis atau contoh konsep pembangunan luar bandar di alaf 21," katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan program itu adalah hasil perkongsian pintar antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan syarikat swasta dalam merealisasikan pemodenan di luar bandar.

Katanya penyediaan 100 buah rumah tersebut dibina melalui kaedah sistem binaan industri (IBS) yang lengkap dengan kemudahan bekalan elektrik dan air bersih.

Menurut Najib projek Rimbunan Kaseh juga berkeupayaan memenuhi keperluan penempatan, menjana ekonomi dan mengamalkan kaedah pertanian berteknologi tinggi yang menjanjikan produktiviti tinggi.

"Macam nak tanam golden melon, boleh gunakan teknologi autoport yang hasilnya boleh dieksport ke Singapura, dan di sini juga kita ternak ikan Jade Perch dari Australia yang tinggi kandungan Omega 3 yang bernilai RM80 sekilogram di restoran," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan masih mempunyai pelbagai perancangan projek pembangunan untuk rakyat terutamanya di luar bandar, justeru sokongan rakyat terhadap BN perlu diteruskan bagi memastikan ia terlaksana.

"Sebab itu kita perlu kesinambungan kerajaan kerana banyak lagi idea baru untuk pembangunan rakyat dan hanya kerajaan BN yang boleh berbuat demikian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain