suria

MCA Kemuka 30 Peratus Calon Baru

MARAN: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 30 peratus daripada senarai calon parti itu yang dikemuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terdiri dari kalangan muka baru.

Beliau berkata MCA akan akur sepenuhnya apa jua keputusan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkaitan pengagihan kerusi dan calon parti komponen itu pada pilihan raya umum ke-13.

"Kita pilih calon bukan sahaja yang diterima pengundi, malah yang mampu menjalankan tanggungjawab dan tugas untuk r rakyat dan parti. "Ini bukan bererti calon lama tidak baik, tetapi wajar diberikan peluang kepada calon pelapis untuk meneruskan perjuangan parti di masa depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengesahan Tapak Cadangan Klinik Kesihatan Kampung Seri Jaya dekat Maran, pada Sabtu.

Beliau berkata senarai calon yang dikemuka terdiri daripada pelbagai golongan dan kelulusan, adunan muka baharu dan lama. Katanya, MCA yakin masyarakat Cina negara ini akan memberi sokongan kepada MCA dan BN berdasarkan program transformasi yang telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

"Kaum Cina kini semakin yakin dengan kerajaan yang banyak membawa perubahan untuk manfaat rakyat, malah ekonomi negara semakin berkembang," katanya.

Liow, yang juga anggota Parlimen Bentong, yakin kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang dahulunya dimenangi pembangkang pada Pilihan raya umum 2008 akan dapat dirampas kembali pada pilihan raya umum kali ini. -BERNAMA

Artikel Lain