suria

Lebih Ramai Muka Baru Dalam Senarai Calon Gerakan - Tsu Koon

KUALA LUMPUR: Gerakan akan menampilkan lebih ramai muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dalam usaha mencerminkan pembaharuan yang dilakukan oleh parti itu.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata senarai calon Gerakan akan turut memperlihatkan lebih ramai calon wanita dan belia.

"Senarai hampir dimuktamadkan...lebih 90 peratus kerusi dan calon hampir sudah diputuskan...orang yang kami calonkan ialah calon boleh menang tetapi senarai ini mungkin boleh berubah lagi," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Sabtu.

Beliau juga berharap keputusan PRU-13 akan lebih memihak kepada Gerakan dan Barisan Nasional (BN) berbanding piliha raya umum 2008 lepas yang antara lain menyaksikan Pulau Pinang terlepas ke tangan pembangkang selepas diterajui Gerakan selama 39 tahun.

Katanya, situasinya kini lebih baik dengan sokongan masyarakat majoriti iaitu Melayu, Cina dan India terhadap BN telah kembali dan semakin kukuh.

Dalam pada itu, Koh berkata semua penyokong parti politik perlu bersikap matang dan tidak terbuai dengan emosi sehingga boleh mencetus insiden tidak diingini sepanjang berlangsungnya PRU-13.

Beliau merujuk beberapa kejadian termasuk insiden seorang lelaki tidak dikenali membaling batu dan kayu ke arah pintu ibu pejabat Gerakan di George Town, 16 Mac lepas.

Mengenai cadangan pembangkang membina terowong dasar laut di Pulau Pinang, Koh berkata: "Sekiranya Ketua Menteri (Lim Guan Eng) merasakan itu langkah yang bijak, biarkan dia berhadapan dengan pandangan masyarakat negeri itu."

Pada sidang media itu juga, dua klip video dalam bahasa Inggeris dan Cina dilancarkan sebagai medium promosi berhubung pendirian Gerakan mengenai demokrasi, hak asasi dan ekonomi. -BERNAMA

Artikel Lain