suria

Rogol: Mahkamah Rayuan Kekalkan Hukuman Penjara 15 Tahun, 10 Sebatan Terhadap Pemandu Bas

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Jumaat mengekalkan sabit kesalahan dan hukuman penjara 15 tahun serta 10 kali sebatan terhadap seorang pemandu bas kerana merogol seorang pekerja kilang di dalam bas empat tahun lepas.

Panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin, sebulat suara menolak rayuan S.Vengadesvaran setelah mendapati rayuannya tidak mempunyai merit.

Abu Samah berkata pensabitan kesalahan perayu adalah kukuh walaupun tidak disertai laporan pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa.

"Kami juga tidak mempunyai asas untuk mengganggu hukuman itu kerana ia dibuat berdasarkan budi bicara hakim perbicaraan," kata Abu Samah yang bersidang bersama Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Vengadesvaran, 29, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di George Town pada 25 Feb 2011 kerana merogol wanita berusia 28 tahun itu di dalam bas yang diletakkan di tepi Jalan Changkat Minden, Gelugor, Pulau Pinang pada 11.20 malam, 30 Jun 2009.

Pada 7 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Vengadesvaran dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu. Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa membuat kerja lebih masa dan setelah selesai bertugas pada 10.30 malam, menaiki bas yang dipandu Vengadesvaran.

Setelah menghantar kesemua pekerja kilang syif malam ke rumah masing-masing, Vengadesvaran memandu bas berkenaan ke Simpang Changkat Minden dan berhenti di situ. Dia kemudian berjalan ke arah mangsa yang duduk di kerusi penumpang.

Selepas iu, Vengadesvaran mengeluarkan satu objek tajam dan meletakkannya pada tengkuk mangsa sambil mendesak mangsa supaya melakukan hubungan seks dengannya.

Vengadesvaran kemudian menyuruh mangsa mengikutnya ke kerusi belakang dan mengarahnya menanggal pakaian, tetapi wanita itu membantah.

Berikutan itu, tertuduh memukul dan menumbuk muka mangsa bagi memaksa wanita itu memenuhi kehendaknya. Dia merogol wanita itu sebanyak tiga kali sebelum menghantarnya ke rumah dan memberi amaran kepada mangsa supaya tidak membuat laporan polis.

Bagaimanapun, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya.

Terdahulu, peguam Simon Murali, yang mewakili Vengadesvaran, berkata anak guamnya tidak mendapat perbicaraan secara adil kerana dia dinafikan hak dan peluang untuk membuat pemeriksaan balas terhadap doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa.

Timbalan pendakwa raya Yusaini Amer Abdul Karim pula dalam hujahnya berkata terdapat terlalu bukti yang menunjukkan jenayah itu benar-benar berlaku. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain