suria

PR1MA Bincang Dengan Prasarana Bangunkan Hartanah Berhampiran MRT

PETALING JAYA: Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kini mengadakan perbincangan dengan Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) untuk membangunkan hartanah yang akan disepadukan stesen MRT.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Mutalib Alias berkata PR1MA melihat pelbagai kemungkinan termasuk membina rumah di atas stesen-stesen MRT.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, Abdul Mutalib berkata terdapat tiga lokasi sedang dipertimbangkan iaitu Putra Height, Jelatek dan Glenmarie.

Beliau berkata PR1MA telah memulakan projek yang serupa di stesen KTMB Seremban.

PR1MA Seremban Sentral akan dibina dalam kawasan stesen KTMB Seremban di mana penduduk akan mempunyai akses kepada kereta api, transit aliran ringan (LRT) dan perkhidmatan bas.

"Kami akan membina sebuah stesen baru di sana dan memulihara stesen lama kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan kita," katanya, sambil menambah bahawa unit perumahan jauh paling dari stesen adalah kira-kira 500 meter.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata 80,000 rumah baru akan dibina di bawah program PR1MA tahun ini.

Daripada jumlah ini, sebanyak 50,000 unit akan dibangunkan oleh PR1MA manakala 30,000 unit akan dibina di bawah proses penswastaan.

Pada masa ini, sebanyak 116,000 unit dilancarkan di pelbagai lokasi di Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Kecuali bagi Perlis, tapak dan pemaju untuk semua lokasi lain telah dikenal pasti. PR1MA Kuantan akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok dan negeri lain akan menyusul tidak lama lagi, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain