suria

Lima Sekeluarga Nyaris Rentung Dalam Kebakaran Di Kelantan

KOTA BARU: Panggilan telefon ibu menyelamatkan lima sekeluarga daripada rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa, di sini Jumaat.

Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu sepasang suami isteri dan tiga anak mereka sempat menyelamatkan diri sekalipun rumah kedai tersebut sudah separuh terbakar.

Azizah Yaakob, 48, berkata beliau menghubungi anaknya yang tinggal di rumah kedai tersebut sebaik mendapat panggilan telefon daripada rakan yang melihat tingkat atas premis itu terbakar.

"Saya bersyukur kerana anak dan keluarganya selamat dan tidak menjadi mangsa kebakaran," katanya yang juga pemilik kedai makan itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan 2, Mahusin Hassan berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kebakaran tersebut pada pukul 6.07 pagi.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk memadam kebakaran.

"Api marak dengan cepat menyebabkan pihak bomba mengambil masa agak lama untuk memadamkan api," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya jumlah kerugian dianggar RM20,000 dan punca kejadian dalam siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain