suria

Lahad Datu: Guru Hina Pasukan Keselamatan Akan Berdepan Tindakan Disiplin

BATU PAHAT: Seorang guru yang ditahan atas dakwaan menghina pasukan keselamatan berhubung pencerobohan pengganas Sulu di Sabah boleh berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, lembaga disiplin kementerian tersebut telah melakukan siasatan berhubung dakwaan penghinaan itu.

"Guru tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat kerana menurut polis ia adalah kes hasutan.

"Dia kini digantung tugas dan akan berhadapan tindakan disiplin dari pihak kementerian," katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah untuk dewan serbaguna dan bangunan sekolah baru SJK (C) Chern Hwa di Bukit Pasir di sini, Jumaat.

Dr Mohd Puad berkata di bawah prosiding disiplin, guru tersebut berdepan kemungkinan dipecat, penggantungan tugas atau bayaran gaji, diturunkan pangkat ke kelas rendah atau diberikan amaran.

"Tindakan yang diambil akan bergantung kepada keseriusan salah laku selain keputusan mahkamah dan hukuman," katanya.

Guru tersebut didakwa menghina pasukan keselamatan sebagai 'anjing' dalam laman sosial Facebook miliknya dan menganggap kematian mereka sebagai 'mati katak'.

Artikel Berikut

Artikel Lain