suria

Isu Tanah: Kemarahan Rakyat Kelantan Terhadap Kerajaan Negeri Semakin Memuncak

TUMPAT: Kemarahan rakyat Kelantan termasuk masyarakat Orang Asli terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS mengenai isu tanah kini semakin memuncak apabila semakin ramai rakyat kini tampil meluahkan perasaan tidak puas hati mengenai isu itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setiap minggu mereka terutama yang tinggal di pedalaman Kelantan mengadakan perhimpunan secara aman membantah tindakan kerajaan negeri yang mengambil tanah mereka untuk dijadikan ladang komersil.

"Perkara seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kelantan. Tidak pernah dalam ingatan saya begini ramai rakyat yang mengadakan demonstrasi dan mereka datang dari banyak kawasan.

"Bukan sahaja orang Melayu, Orang Asli pun bertindak begitu. Ini bukan satu perkara kecil, kita kena hormati manusia, mereka manusia, mereka Orang Asli di sini dan saya amat dukacita kerajaan PAS tidak ambil berat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Umno Pengkalan Kubor di Pantai Geting di sini, Jumaat.

Semalam seramai 120 penduduk mendesak kerajaan PAS Kelantan membatalkan kelulusan tanah seluas 376 hektar di Kampung Sungai Badong, Kuala Betis di sini, kepada dua syarikat asing bagi pembangunan ladang rakyat. Penduduk mendakwa telah membangunkan tanah itu dengan menanam kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan sejak lebih 20 tahun lalu. Mustapa berkata kini sebanyak 23 kawasan Orang Asli terlibat dengan Ladang Rakyat itu dan apa yang berlaku kini, mereka terpaksa berpindah ke tempat lain untuk mencari rezeki.

"Kita tahu, memang tiada hak milik tetapi itu tanah tradisi mereka, tempat mereka mencari makan. Kalau dia orang ambil tanah, mana mereka nak pergi. Tak kan mereka nak datang ke bandar, ke pantai. Mereka tak biasa hidup di bandar. Kalau mereka datang ke bandar, ke pantai sudah pasti mereka tidak boleh hidup," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri berulang kali menafikan tindakan mereka itu adalah zalim tetapi pada masa sama tiada siapa boleh menafikan tindakan sedemikian adalah tidak berperikemanusiaan.

"Ini satu penganiayaan, kezaliman yang berlaku di seluruh Kelantan. Jadi tak usah lah kerajaan PAS menafikan. Ini benda benar, bukan sandiwara. Ini bukan diada-adakan. Ini peristiwa yang benar berlaku," katanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencabar kerajaan PAS agar menunjukkan kaedah yang betul untuk memohon tanah milik kerajaan itu jika mendakwa pemohon telah tidak menggunakan saluran yang betul.

"Kalau tidak betul beritahu cara yang betul. Hantar pegawai tunjuk borang ini cara yang benar. Saya cabar mereka pergi sekarang ini kerana mereka yang ada kuasa untuk tunjuk cara betul.

"Saya cabar mereka untuk pergi ke sana tunjuk cara yang betul dan adakah jaminan mereka akan dapat tanah selepas itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain