suria

Gangguan Bekalan Air di Klang, Shah Alam Dijangka Pulih Esok

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air tidak berjadual di sekitar Klang dan Shah Alam ekoran penurunan paras air di kolam sedut Sunway Kayangan dijangka pulih, seperti sedia kala selewat-lewatnya esok.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan berkata dianggarkan sejumlah 3,160 akaun pengguna di Sunway Suria, Puncak Perdana, Subang Impian dan Sunway Kayangan didapati masih terjejas.

"Kerja-kerja pemasangan paip pintasan daripada sumber Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 yang telah dimulakan semalam, telah mencapai status kerja 40 peratus.

"Dijangkakan kerja-kerja ini akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada tengah malam ini, iaitu tujuh jam lebih lewat daripada yang dijangka kerana paip yang sedia ada terletak terlalu dalam, justeru pengguna yang terlibat akan mendapat bekalan air selewatnya esok," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Syabas berkata gangguan bekalan air tidak berjadual itu berlaku berikutan permintaan bekalan air yang meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini, kesan daripada cuaca panas.

Keadaan itu menyebabkan bekalan air berkurangan kepada kawasan Sunway Kayangan yang terletak di penghujung sistem agihan air dan seterusnya telah menyebabkan penurunan kolam sedut di Sunway Kayangan.

"Buat masa ini, pihak Syabas telah menyediakan dua lori tangki dan empat tangki statik sebagai bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna yang terjejas dengan kejadian ini.

"Rekod aduan juga menunjukkan dari tempoh 12 tengah malam hingga 3 petang hari ini, pihak Syabas telah menerima 12 aduan berhubung ketiadaan air, satu aduan tekanan air rendah dan dua permintaan lori tangki air di kawasan terlibat," menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh tersebut juga pihak Syabas telah menghantar lima trip tangki air kepada pengguna yang terlibat termasuk melakukan penghantaran untuk mengisi tangki-tangki statik di semua kawasan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain